NAFSU : MUSUH YANG DICINTAI…


Assalamualaikum wbt…

Alhamdulillah, segala puji hanya buat pencipta sekalian alam, Allah SWT yang memiliki segala kesempurnaan.

Setelah sekian lama, akhirnya saya bertemu juga kesempatan menulis bagi sama-sama memanfaatkan diri saya dan sahabat-sahabat lainnya.

Saya ingin memanjatkan kesyukuran kepadaNya kerana memberi peluang kepada saya menyempurnakan sebahagian sunnah nabi Muhammad SAW, iaitu melangsungkan perkahwinan. Semoga ikatan yang dibina ini akan lebih mendorongkan serta melorongkan fikiran serta amalan berada lebih dekat denganNya. Amin.

Sekian lama tidak menulis, saya memilih tajuk “NAFSU : MUSUH YANG DICINTAI…”, sebagai satu perkongsian untuk sama-sama kita lihat pada diri kita dan renungkan bersama. Saya amat berharap sahabat-sahabat sekalian sudi untuk menyebarkan pengetahuan yang diperolehi bersama dengan rakan-rakan yang lain.

Setiap makhluk yang diciptakan Allah SWT, ada mempunyai nafsu. Begitulah lumrahnya setiap lelaki memerlukan perempuan. Namun janganlah kita mengaitkan nafsu itu kepada nafsu shahwat semata, kerana terdapat beberapa nafsu yang lain seperti nafsu makan, nafsu tidur, nafsu membeli belah dan sebagainya. Bahkan sebahagian ulama’ juga mengkategorikan dengki, bakhil, tamak juga tergolong dan berpunca daripada nafsu.

Nafsu sebagaimana di sebutkan terbahagi kepada 4. Dan ada beberapa ulama’ yang membahagikannya kepada 7. Namun saya memilih untuk membincangkan 4 jenis nafsu yang asas, yang mana nafsu-nafsu ini berada pada semua jenis peringkat manusia. Fahamilah, insyaAllah kita akan berjaya menguasainya.

Nafsu yang pertama diletakkan sebagai nafsu yang yang berada paling bawah iaitu nafs ammarah. Peringkat nafsu ini sangat dikeji oleh para ulama’ kerana seseorang itu sangat mudah dipengaruhi dan ditewaskan oleh nafsunya sendiri seterusnya melakukan kemungkaran yang ditegah oleh syariat Islam. Lebih memburukkan, golongan yang dikuasai oleh nafsu ini amat berbangga apabila melakukan kemungkaran dan menzahirkan perbuatannya itu.

Misalannya ialah sebagaimana remaja pada hari ini yang mendedahkan aurat, tidak merasa malu dengan perilaku mereka bahkan merasa bangga untuk terus mempamerkan “aset” yang dimiliki. Golongan seperti ini seolah-olah telah meletakkan harga yang begitu rendah buat maruah serta prinsip mereka. Tidak membuatkan pandangan masyarakat melihat mereka sebagai mulia tetapi memandang mereka dengan penuh kehinaan. Begitulah hebatnya kuasa yang dimiliki oleh nafs ammarah ini, menguasai jiwa manusia sehingga mereka buta untuk memahami pandangan masyarakat buat mereka. Melihat yang hitam sebagai yang putih ataupun melihat yang timur sebagai yang barat.

Nafsu yang kedua di namakan sebagai nafs  lawwamah, yang mana tarafnya berada di atas sedikit daripada  nafs ammarah. Golongan yang dikuasai oleh nafsu ini menyedari akan kesalahan mahupun kemungkaran yang dilakukan, tetapi tidak berdaya untuk mengubahnya lantaran kerana lemahnya serta nipisnya iman yang dimiliki. Mengetahui kemungkaran yang dilakukan, namun kadangkala seakan meredhai perbuatan tersebut.

Sebenarnya, golongan yang dikuasai oleh nafs lawwamah ini berada di kalangan kita dengan begitu ramai sekali. Contohnya ialah sesetengah lelaki yang beranggapan tidak mengapa jika menyentuh tangan bukan muhrimnya. Dan begitu juga sebaliknya sesetengah perempuan yang berpendirian demikian. Jelasnya, mereka menyedari dan telahpun mempunyai pengetahuan agama yang asas bahawa hukum menyentuh tangan bukan muhrim adalah haram. Namun dibiarkan pengetahuan tersebut, dipinggirkan hukum-hukum Allah dengan berfikiran logik bahawa tidak mengapa menyentuhnya tanpa shawat berahi. Tanpa disedari, permulaan pemikiran ini sebenarnya telah menghalalkan remaja-remaja untuk terus berpelukan sesama kekasih hasil daripada pemikiran sebegini. Dan akhirnya, mereka tumbang hasil dorongan nafsu sendiri.

Nafsu yang ketiga di namakan sebagai nafs mulhamah. Peringkat nafsu ini adalah lebih kepada perubahan ke arah kebaikan. Proses awal untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun sedemikian, golongan yang cenderung memiliki tingkatan nafsu ini kadangkala tertewas di dalam melakukan kemungkaran juga. Contohnya, ialah mereka yang menunaikan solat, tetapi hanya sekadar rutin harian. Hasilnya, mereka tetap terdorong untuk melakukan kemungkaran dan kemudiannya bertaubat semula kepada Allah.

Nafsu yang keempat dan terakhir dinamakan sebagai nafs mutmainnah, iaitu peringkat nafsu yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran pada surah al-Fajr ayat 27-28 yang bermaksud :

“Wahai jiwa-jiwa (nafsu) yang tenang. Kembalilah kepada tuhan kamu dengan hati yang redha dan di redhai.”

Peringkat nafsu ini adalah peringkat tertinggi yang dijanjikan Allah syurga pada sesiapa yang berjaya mencapai tahap nafs mutmainnah ini. Nafs ini bukan sahaja mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan bahkan membantu seseorang itu agar selalu menjauhi kemungkaran yang ditegah. Mereka inilah golongan yang apabila mendengar ucapan-ucapan keugamaan, maka bergetar hati mereka berasa takut akan setiap dosa yang dilakukan. Sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan acapkali mengucapkan ucapan salam dan rindu pada baginda Muhammad SAW.

Renungkan sahabat-sahabat sekalian, di manakah kita berada? Peringkat manakah pilihan kita? Adakah kita tergolong di dalam golongan yang di kawal oleh hati yang dikuasai oleh nafsu ammarah mahupun lawwamah? Dan adakah kita berada di tingkatan tertinggi menunggu hari bertemu dengan Kekasih yang Agung dalam hati yang meredhai dan di redhai?

Sahabat-sahabat sekalian, saya juga berasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat akan ilmu yang diperolehi daripada guru saya sebelum ini akan bagaimana kaedah untuk mengawal nafs seterusnya menewaskannya…

Semoga kita beroleh manfaat darinya.

Antara 3 kaedah ataupun cara menundukkan nafs ialah :

1. Menyekat kekuatan nafs.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, nafs ialah persoalan yang berkaitan dengan unsur-unsur dalaman. Maka salah satu sumber kekuatannya ialah sumber makanan yang di ambil. Maka hendaklah kita memelihara sumber makanan yang di ambil dengan menitikberatkannya kepada yang halal, tidak mengambil makanan melainkan yang berkhasiat semata serta mengikut urutan sunnah mengenai kaedah makan yang betul. Contohnya adalah seperti yang di ajar rasulullah SAW untuk makan apabila kita berasa lapar dan berhenti sebelum kita berasa kenyang. Dengan yang demikian, sumber dalaman kita akan menjadi bersih dan kita akan sentiasa berasa tenteram serta dapat berfikir dengan jiwa yang tenang.

2. Membebankan nafs dengan ibadah.

Apabila nafs itu sudah menjadi lemah, maka menjadi mudah untuk kita membuatkan ia untuk menurut perintah kita. Maka, ambillah kesempatan ini untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah samada yang fardhu mahupun yang sunnah. Menerusi ibadah yang di lakukan, insyaAllah, akan memberi kesan kepada hati agar terbiasa dengan amalan-amalan ini. Dan apabila perkara sebegini berlaku, hati juga akan meronta kita supaya melakukan ibadah apabila kita terleka.

3. Berdoa kepada Allah.

Sahabat-sahabat sekalian, apabila kedua-dua kaedah di atas telah terlaksana, maka tinggallah cara terakhir yang boleh kita amalkan, iaitu memohon doa kepada Allah.

Berikut adalah terjemahan doa yang boleh di amalkan :

“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kemungkaran dan peliharalah aku daripada kerosakan nafsu.”

Alhamdulillah, saya ucapkan syukur padaNya kerana berjaya menyiapkan sebahagian usaha untuk menyebarkan dakwah ini. Tidaklah ditulis tulisan ini untuk berbangga-bangga diri ataupun mencari nama, bahkan tidak lain hanya kerana perasaan sayang  pada umat Islam sekaliannya. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada tulisan ini seterusnya menyebarkannya kepada yang lain.

InsyaAllah, bertemu lagi.

wassalam.

Advertisements

Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?


assalamualaikum wbt…

bersyukur ke hadrat Allah kerana masih diberi nikmat olehNya meskipun kita sering melakukan kesalahan dan alpa dalam mengingatiNya…bukti bahawa Allah itu maha Penyayang dan maha Pengasih..semoga kita terus berada di atas jalanNya.

Sebetulnya, saya ingin untuk menulis mengenai tanda-tanda hari Kiamat yang semakin hampir, lantaran kerana beberapa tazkirah yang saya sampaikan sebelum ini lebih kerap berkisar mengenai Kiamat serta serangan pemikiran oleh barat terhadap umat Islam menerusi filem mereka, 2012. Namun, saya merasakan adalah penting untuk saya mendahulukan tajuk ini iaitu “Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?”. Ini berikutan kehadiran tarikh 14hb Februari yang akan tiba dan amat dikhuatiri akan terus melemaskan muda-mudi beragama islam di dalam arus maksiat yang semakin berleluasa.

Semoga tulisan ini bukan sahaja bermakna buat mereka yang telah memahami erti Hari Kekasih menurut perspektif Islam, bahkan yang diutamakan buat sahabat-sahabat yang baru menyedarinya dan mencari info mengenainya.

Menyentuh mengenai sejarah Hari Kekasih ataupun Valentine’s Day, terdapat sekurang-kurangnya 2 paderi yang dikatakan pencetus kepada sambutan hari ini. Yang pertamanya ialah paderi Valentine yang berkhidmat untuk kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III pada ketika itu telah melarang pemuda-pemuda untuk berkahwin dengan beralasan mereka akan lebih komited dan taat untuk mempertahankan negara jika mereka tidak berkahwin. Namun, paderi Valentine ini telah mengingkari arahan Maharaja Claudius III dengan mengahwinkan pemuda serta pemudi tanpa pengetahuan maharaja. Dan tindakan paderi Valentine ini telah dapat dihidu dan beliau terus dihukum bunuh.

Seterusnya, juga mengenai seorang paderi yang bernama Valentine yang dijatuhkan hukuman mati kerana cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada penjara. Ketika berada di dalam penjara paderi ini telah bercinta dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada pegawai penjara tersebut. Sebelum dibunuh, paderi Valentine ini telah menulis sepucuk surat yang mengandungi ungkapan “from your valentine”.

Kaitan antara kedua-dua kisah di atas ialah mereka telah dibunuh pada tarikh yang sama iaitu 14 Februari. Justeru, masyarakat serta penganut agama Kristian ini telah menganggap mereka sebagai idola di dalam percintaan dan seterusnya menamakan 14 Februari sebagai Hari Valentine.

Namun tanpa kita sedari, peredaran zaman telah membuatkan masyarakat Islam pada hari ini juga telah terpengaruh dengan budaya sambutan hari ini apabila masyarakat Kristian turut menamakan tarikh 14 Februari ini juga sebagai Hari Memperingati Kekasih. Maka pelbagai sambutan telah diadakan pada hari ini untuk menyambutnya dengan dorongan oleh pelbagai pihak termasuk media cetak mahupun media elektronik. Para kekasih beragama Islam akan menjemput kekasihnya untuk meraikan sambutan ini sehingga pulang pada lewat malam, seterusnya menjurus kepada melakukan maksiat.

Sahabat-sahabat sekalian, terfikirkah kita bahawa sambutan Hari Kekasih ini adalah sebenarnya sambutan untuk memperingati paderi-paderi yang memperjuangkan agama Kristian?

-Jadi, dimanakah jatidiri yang ada di dalam diri kita sebagai umat Islam untuk menjual akhlak dan aqidah kita kerana nafsu semata-mata?

-Kemanakah hilangnya semangat keIslaman yang patut ada dalam diri kita untuk menyebarkan agama Allah ini?

Tanpa kita sedari, masyarakat kita pada hari ini adalah satu-satunya masyarakat yang masih lalai dan alpa dalam mempertahankan agama kita. Buktinya lihatlah pada usaha-usaha barat menerusi filem-filem mereka yang tersebar seluruh dunia seperti filem bertajuk “Book of Eli” , “2012” dan sebagainya. Filem ini tidak lain hanyalah untuk memyebarkan fahaman Kristian itu sendiri.

Dan bagaimana pula dengan filem-filem yang dihasilkan masyarakat kita. Tiada lain, melainkan keuntungan semata. Namun ini hanyalah sekadar misalan dan contoh mudah yang dapat di ambil bagi memberi penjelasan kepada masyarakat.

Maka secara tidak langsung, apabila kita menyambut sambutan Hari Kekasih ini membawa erti kita juga menyokong  usaha paderi -paderi Kristian ini  dalam mempertahankan agamanya!

Saya ingin membawakan satu peringatan di dalam al-Quran daripada surah al-An’am (ayat 116) yang bermaksud :

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tiada lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tiada lain hanyalah berdusta (terhadap Allah.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu itu akan diminta bertanggungjawab“.

Begitu juga dengan hadis yang dibawakan baginda Muhammad SAW di dalam hadisnya yang bermaksud :

“Barangsiapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama), maka dia tergolong di dalam kaum (agama) itu”.

Semoga Allah memelihara kita.

Sahabat-sahabat sekalian, jelas di sini bahawa hukum memnyambut Hari Kekasih ataupun Hari Valentine ini adalah haram kerana ia bertentangan dengan agama Islam itu sendiri. Bahkan, jika berpandukan kepada hadis nabi SAW di atas itu, orang Islam yang menyambut perayaan tersebut boleh dianggap murtad!

Sahabat-sahabat sekalian, kita tidak memerlukan budaya seperti ini kerana agama kita sendiri sudah lengkap dan sempurna. Islam itu sendiri tidak melarang fitrah manusia untuk berkasih, namun berkasihlah mengikut saluran yang betul.

Pada tahun 2011 ini, tarikh 14 Februari ini bersebelahan dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 15 Februari. Maka, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk memperingati sambutan kelahiran insan yang paling agung, baginda Muhammad SAW, insan yang memandu kita untuk berada di dalam nikmat Islam pada hari ini.

Semoga tulisan saya ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat buat sekaliannya dan usaha ini tidak lain diiringi perasaan kasihku pada umat Islam semuanya.

InsyaAllah, jika diberi kelapangan akan bertemu semula..

 

ciri-ciri doa dimakbulkan…


assalamualaikum wbt,

alhamdulillah….akhirnya di beri sedikit kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan semua…

masa-masa yang sibuk sebelum ini sangat-sangat disyukuri, saya telah dapat berkenalan dengan seorang ilmuan agama serta dapat berkongsi pengetahuan dengan beliau…orang yang dimaksudkan ialah alfadhil ustaz Ismail bin Che Ku, ketua jabatan pengajian Islam, Maktab Perguruan Islam, B.B. Bangi…

teringat tazkirah yang diberikan menyentuh kepada ciri-ciri doa di makbulkan…saya sekadar berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat yang membaca, mudah-mudahan kita beroleh manfaat dan menyebarkan kepada yang lain…

terdapat 3 ciri yang di sampaikan di dalam tazkirahnya…

  • pertamanya : bertawassul dengan perbuatan baik yang kita lakukan….

-yang dimaksudkan disini ialah kita menyebut mengenai amal kebaikan yang pernah kita lakukan di dalam kehidupan kita untuk memohon sesuatu daripada Allah..(tetapi janganlah pula kita asyik menyebutnya kepada manusia, -dikhuatiri bertukar menjadi takbur serta riya’)

contoh yang boleh dibawa ialah satu kisah ketika mana 3 orang pemuda yang terperangkap di dalam sebuah gua…seorang yang pertama berdoa ; ya Allah, aku pernah dipujuk untuk menjual kambing tuanku tanpa pengetahuannya dengan harga yang mahal, tetapi aku menolaknya kerana takut kepada Engkau, ya Allah..maka dengan perbuatanku itu, bukakanlah pintu gua ini..(pintu gua terbuka sedikit)

seorang yang kedua berkata; ya Allah, suatu hari aku pernah pulang lewat dari bekerja dan ibubapaku telah tidur..kebiasaannya aku memberi mereka minum susu sebelum mereka tidur, namun aku tidak sanggup mengejutkan mereka untuk bangun dan minum walaupun ketika itu, anak-anakku sedang menangis meminta susu itu. aku bertekad untuk menunggu ibubapaku bangun dan minum dahulu kemudian barulah anak-anakku. Ya Allah, dengan perbuatanku itu, maka Engkau bukakanlah pintu gua ini…(juga terbuka sedikit)

dan seorang yang ketiga kemudian berdoa ; ya Allah, suatu ketika aku pernah di ajak berzina dengan saudara perempuanku dan aku hampir-hampir sahaja melakukannya..namun ketika aku terlalu hampir melakukannya, aku tersedar dan menjadi takut lalu bertaubat kepadaMu, ya Allah..maka dengan perbuatan ku itu, bukakanlah pintu gua ini…(maka pintu gua itu terbuka dan mereka dapat keluar dengan selamat..)

  • kedua : dengan menyebut nama-nama Allah (asma’ al-husna)

-apabila memohon kepada Allah, sedarilah kita adalah hamba yang meminta daripada Pencipta yang Lebih Kuasa, maka sebutkanlah nama-nama Allah yang mulia yang mana jua adalah sifat-sifatNya.

contohnya adalah ketika kita memohon keampunan daripadaNya, maka sebutkanlah ya Ghafur ya Rahim (sekadar misalan), kerana kita sedia maklum akan kekuasaan Allah serta ilmunya yang mana jika dikumpulkan setiap air di lautan untuk dijadikan tinta buat menulis ilmuNya, nescaya tidak akan cukup..begitulah juga tanda kebesaran Allah..

maka di sini terdapat sedikit galakan buat para sahabat untuk kita mengenali nama-namaNya..janganlah sekadar menyebut di dalam nasyid tetapi tidak memahaminya..

  • ketiga : bertemu dengan rojulun solih (para ilmuan)

yang dimaksudkan dengan rojulun solih ialah orang-orang alim ulama’ ataupun dalam bahasa mudahnya ialah para ilmuan. Saya suka untuk menyebut di sini akan ciri-ciri ilmuan antaranya :

  1. ilmu yang bersanad : ertinya dia mengetahui daripada mana datangnya ilmu yang dipelajari dan bukan sekadar daripada pembacaan sahaja. bahkan dia mengenali latarbelakang penulis serta gurunya..sehingga ada para alim ulama’ yang sanadnya sampai kepada Rasulullah S.A.W..
  2. beramal dengan ilmunya : beliau tidak sahaja mempelajarinya, tetapi juga beramal dengannya.
  3. menyampaikan : maka setelah beramal dengan ilmunya, dia juga menyebar serta mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lainnya.

apabila kita berkesempatan bertemu dengan para ilmuan, maka mintalah padanya untuk mendoakan kita ataupun berdoa bersamanya dan mengaminkan bersamanya..tetapi jangalah kita beranggapan bahawa mereka yang berkuasa, tetaplah yakin bahawa yang memberi dan mengambil hanyalah Allah S.W.T..

semoga Allah memperkenankan doa kita dan memberi ketetapan hati pada kita di atas jalanNya untuk terus berada di atas jalanNya..

saya berharap dengan gembiranya saya menulis di ruangan ini, para sahabat juga akan gembira membacanya..semoga Allah tidak mengambil nikmat ini daripadaku untuk terus cintakan ilmu…dan semoga semua saudara kita yang sedang berjuang di Tanah Arab, diiringi doa kita..berjaya menumpaskan musuh Allah…ameen..

Adat atau kepercayaan yang menjejaskan syahadah atau aqidah Islam


Assalamualaikum wbt…

bertemu lagi…terdengar ceramah daripada Dr. Abd Halim Nasir al-hafiz yang menyebut terdapat permasalahan atau penyakit orang melayu yang terlalu gemar mencari ilmu tanpa mengetahui asal usul ilmu tersebut apatah lagi latarbelakang orang yang menyampaikannya.

Di khuatiri setiap apa yang kita pelajari tanpa berguru dengan orang yang arif ataupun alim ‘ulama akan membuatkan kita lari daripada landasan sebenar. Contohnya mencari perkara-perkara yang tidak perlu dan sia-sia. Perkara ini pernah disebutkan oleh Prof Dr Mamduh Mohamed Ahmed Ahmed di dalam kuliahnya sebagai :

علم الذي لا ينفع والجهل الذي لا يضر

“jika kita mengetahui, tidak memberi manfaat namun tidak mengetahui pula tidak memberi kesan”.

Jelas di sini bahawa perkara-perkara sedemikian tidak perlu untuk dicari atau diperdebatkan sebagaimana seorang lelaki pernah bertanya kepada saya bahawa apakah nama-nama syaitan yang terdapat di dalam surah al-Fatihah dan bermacam persoalan lagi..

Persoalan di sini, yang manakah lebih utama di antara perkara yang wajib dan makruh?

tepuk dada, tanya selera….. 🙂
Saya ingin memaparkan mengenai adat dan kepercayaan karut yang menjejas, mencemar atau merosakkan syahadah ( adat syirik ) dan adat yang merugikan masyarakat muslim . Di mana adat-adat tersebut telah atau masih diamalkan pada waktu ini di kampung-kampung atau di bandar-bandar di Malaysia atau di mana sahaja yang melibatkan orang Islam.

Syahadah ialah pengakuan seorang muslim atau muslimah dengan Allah Taala, iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ini bermakna kita telah mengaku dan bersetuju di hati bahawa tiada Tuhan atau kuasa yang lain yang setaraf dengan kuasa Allah. Sekiranya di hati kita masih mempercayai ada kuasa lain selain Allah dan kuasa itu dapat memberi pertolongan atau kemudaratan kepada kehidupan kita. Inilah yang dimaksudkan dengan kepercayaan yang karut atau khurafat yang menjejas, mencemar dan merosakkan syahadah atau aqidah.
Allah sifatNya Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Esa, Maha Mendengar dan mempumyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain. Sekiranya tidak patuh lagi dengan pengakuan tersebut dengan mempercayai ada kuasa lain selain Allah. Di sini menggambarkan seseorang itu telah menyengutukan Allah dengan makhluk, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah kerana terdapat unsur tidak mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Maha Berkuasa.
Syirik ialah menyengutukan Allah dengan makhluk, situasi seseorang yang mempercayai kuasa Allah dan dalam waktu yang sama dia juga mempercayai kuasa lain seperti mempercayai semangat padi, hantu syaitan atau berhala yang mana makhluk tersebut kononnya mempunyai kuasa memberi kebaikan dan kemudaratan. Syirik sama seperti orang kafir, cuma situasinya agak berbeza. Dosa kerana syirik atau kafir kepada Allah adalah dosa yang tidak diampunkan dan dosa yang amat besar di sisi Allah.
Adat yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu;

1. Lenggang Perut / Kirim Perut :
Adat ini dilaksanakan dengan menggunakan berbagai peralatan seperti benang mentah, minyak urut, buah kelapa, lilin, wang pengkeras dan lain-lain. Adat ini dibuat terhadap orang perempuan hamil genap 7 bulan . Di antara perkara yang dilakukan ialah mengurut dan menggolikkan buah kelapa di atas perut dengan peraturannya yang tertentu, dilaksanakan oleh bidan atau orang yang berpengalaman mengenainya. Jika tidak dilakukan kononnya ditakuti ibu susah melahirkan anak atau ibu dan anak tidak selamat.

Kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana pengamalnya tidak percaya sepenuhnya kepada kuasa Allah, malah mereka mempercayai ada kuasa lain yang boleh memudaratkan mereka, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah.

2. Mandi Tian:
Mandi Tian ini didapati hampir sama seperti Lenggang Perut cuma peralatan dan jampi serapah sahaja yang mungkin berlainan. Ini berlaku mungkin diamalkan oleh suku kaum yang berlainan dan daerah juga berlainan. Tetapi asas kepercayaanya masih sama.

Sekiranya mempercayai bahawa kemudaratan akan berlaku jika tidak melaksanakannya, hukumnya salah di sisi Islam dan boleh membawa syirik. (semoga dijauhkan Allah)

3. Mandi Limau Pengantin:
Mandi Limau ini dilakukan ke atas pengantin , di mana air limau purut dan sintok dan lain-lain bahan khas dicampur dan dimandikan pengantin bertujuan Tolak Bala atau Buang Geruh.

Adat ini adalah salah di sisi Islam kerana Allah sahaja yang berkuasa menolak bala.
Tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya mandi itu untuk tujuan kesihatan tanpa jampi serapah tertentu. Tidak dinafikan mandi limau mampu mengubah bau badan dan memberi kesegaran.

4. Semangat Padi:
Dalam ingatan: Pada tahun antara 50an hingga 60an di kawasan penanaman padi di negeri Kedah, di mana pada masa itu sawah diusahakan dengan tulang empat kerat Pak Tani tua dan muda dengan menggunakan kerbau yang terlatih untuk memajak ( mengala ) sawah mereka. Kerja menanam dan menuai padi petani mengerjakannya sendiri tanpa pertolongan binatang tersebut tadi, cuma apabila hendak memindahkan hasil padi ke sesuatu tempat mereka menggunakan kerbau semula bagi menarik padi yang telah diisi di dalam guni dengan menggunakan alat yang dikenali oleh Pak Tani Kedah sebagai anur, selain daripada itu mereka juga menggunakan basikal untuk membawa padi daripada suatu tempat ke tempat yang lain seperti ke kedai untuk dijual atau ke jelapang untuk disimpan.
Pada zaman tersebut petani sangat patuh kepada adat. Dari saat memulakan kerja memajak atau mengala sawah, menanam, menuai dan selepas menuai semuanya terikat dengan adat atau istiadat. Tanam padi dimulakan dengan menanam semangat padi, selepas beberapa hari barulah boleh meneruskan kerja menanam sehingga selesai, apabila semangat padi ini hampir masak bahagian ini disimpul atau diikat dan dibiarkan sehingga masak, setelah masak bahagian tersebut dituai atau dipotong dan disimpan di dalam jelapang sebagai semangat padi. Kalau tidak lakukan perkara tersebut kononnya padi tidak menjadi atau tidak subur.
( Zaman sekarang padi ditanam dua kali setahun dengan menggunakan berbagai alat teknologi moden seperti mesin tuai, traktor dan seumpamanya dan semangat padi ini tidak diamalkan lagi, mereka menggantikannya dengan kenduri kesyukuran dan doa selamat yang selari dengan ajaran Islam )

Mempercayai bahawa semangat padi boleh memberi kesuburan atau kemudaratan kepada tanaman padi atau dapat meningkat hasil, adalah kepercayaan karut dan salah di sisi Islam serta boleh membawa kepada syirik.

5. Kenduri Sudah Padi ;
Selain daripada Semangat Padi Pak Tani juga mengadakan Kenduri Sudah Padi, kenduri ini diadakan setelah selesai menuai padi. Majlis ini diadakan dengan niat yang bercampur aduk, dikatakan begitu kerana pengisiannya juga bercampur aduk, selain daripada hidangan biasa di sana terdapat sebuah dulang ( talam ) yang mana di dalamnya diisi dengan bertih, susu kerbau, kemiyan, pulut kuning, gulai ayam dan tidak ketinggalan majlis ini juga dimulakan dengan membaca doa.
Majlis ini nampaknya berteraskan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Pulut kuning dan iringannya itu adalah seperti menjamu hantu atau jembalang supaya tidak mengganggu kehidupan mereka.

( Sekarang adat ini telah ditinggalkan setelah sebahagian besar daripada mereka mendalami aqidah Islam )

Di sisi hukum Islam, kepercayaan atau adat kenduri sudah padi seperti ini boleh menjejaskan aqidah atau merosakkan syahadah.

6. Mandi Bunga:
Mandi Bunga mempunyai berbagai tujuan mungkin untuk kesihatan dan sebagainya. Sekiranya mandi itu bertujuan membuang geruh atau tolak bala, maka hukumnya boleh membawa kepada syirik kerana tidak memohon kesejahteraan daripada Allah, sebaliknya memohon daripada kuasa lain, iaitu sesama makhluk.
Mandi bunga kerana rawatan kesihatan secara aromaterapi atau pun lain-lain yang menggunakan khasiat bunya bagi menyegar dan menyihatkan badan tidak termasuk di dalam kepercayaan seperti di atas, ini merupakan rawatan yang diharus atau dibolehkan.

7. Mandi Safar:
Adat mandi safar ini pada masa yang lampau disambut secara pesta oleh orang Melayu terutama yang di tinggal di tepi pantai, adat ini berupa puja pantai, diadakan pada setiap bulan safar, biasanya pada hari Rabu minggu terakhir bulan tersebut. Bila tiba masanya maka beramai-ramailah mereka turun ke pantai denag segala peralatannya. Pesta ini diadakan kononnya bertujuan untuk buang dosa dan tolak bala.
Hukumnya syirik.

8. Kepercayaan karut/khurafat:
Adat dan kepercayaan tersebut terdapat juga yang diamalkan mengikut keluarga masing-masing, ( Tok nenek masing-masing ), kumpulan ini tidak berjenama seperti disebutkan di atas, cuma disebut sebagai meneruskan amalan tok Nenek mereka masing-masing, kepercayaan ini juga dianuti oleh orang Melayu daripada berbagai status, kaya, miskin, terpelajar, berpangkat dan lain-lain. Kepercayaan ini kadang-kadang diamalkan ketika majlis perkahwinan, kenduri kendara, kematian, mengandung, bersalin dan seumpamanya.
Tegasnya, sekiranya adat atau kepercayaan tersebut terpesong daripada memperhambakan diri kepada Allah dengan memohon perlindungan atau memohon menjauhkan bala atau seumpamanya di mana permohonan itu ditujukan kepada selain daripada Allah. Perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan syirik.

9. Malam Tujuh Likur/Pesta Pelita:

Persoalan ini pernah saya sentuh ketika menyampaikan tazkirah seberapa lama dahulu di dalam sebuah majlis ilmu. Adat memasang pelita ( pesta pelita ) pada malam tujuh likur dalam bulan Ramadan, bertujuan menunjuk jalan kepada roh nenek moyang yang pulang menjelang hari raya adalah amalan masyarakat Melayu sebelum Islam. Adat ini dikatakan berasal daripada agama Hindu. Ini meninggalkan kesan kepada pemikiran masyarakat bukan Islam yang terus memandang Islam melalui pandangan yang serong, malah sebahagian masyarakat Islam pada hari ini juga berfahaman begitu.

Jika ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya tidak mungkin terdapat di dalam kitab-kitab Fiqah kerana ia bukan ajaran Islam.


Sekiranya kita memasang pelita pada malam tersebut bertujuan seperti yang dinyatakan di atas bermakna kita telah melanggar dan menyeleweng daripada suruhan yang sepatutnya kita lakukan pada minggu-minggu akhir bulan Ramadan . Tidak salah memasang pelita untuk menceriakan suasana kampung halaman tetapi ianya tiada kaitan dengan kepercayaan terhadap roh.
Marilah kita sama-sama menghayati bersungguh-sungguh suruhan Allah dan tinggalkan laranganNya supaya diikuti oleh anak cucu kita pada masa akan datang dengan ikutan yang betul dan benar seperti terkandung di dalam ajaran Islam. Wallahu aklam.

Renungi dalil Naqli yang memperjelaskan hukum mengenai perkara tersebut:

(a) Firman Allah bermaksud:
” Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan Dia menundukkan matahari dan bulan ( untuk kepentinganmu ), masing-masing berlari ( beredar ), sehingga waktu yang ditentukan. Itulah Allah, Tuhanmu, bagiNya semua kerajaan, orang-orang ( berhala ) yang kamu sembah selain daripada Allah, tidak mempunyai sebesar kulit tipis pun ( sedikit pun )”. Surah Faathir, (13)
” Jika mereka kamu seru ( panggil ), mereka tidak mendengar seruanmu, kalau mereka mendengarnya, mereka tidak memperkenankannya. Pada hari kiamat mereka akan mengingkari kesyirikan mereka itu. Tiada yang akan memberitakan kepada engkau seperti ( Allah ) yang Maha Mengetahuinya”. Surah Faathir, (14)
” Wahai manusia , kamu fakir ( berkehendak ) kepada Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. Surah Faathir, (15)
” Jika dikehendakiNya nescaya dimusnahkanNya kamu didatangkanNya makhluk yang baru” Surah Faathir, (16)

(b) Maksud firman Allah:
” Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada rasul, mereka berkata: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapat dari bapa-bapa kami. Meski pun bapa-bapa mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk”. Surah Al. Maidah, (104)

Mafhum daripada Sabda Rasulullah.s.a.w:

(a) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
” Barang siapa datang ke tempat tukang tenung kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.s.a.w.”
( Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik dan kuat)

(b) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
” Barang siapa datang ke tempat juru ramal ( tukang tenung ), kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari”.
( Riwayat Muslim )

menyuruh amr ma’ruf tetapi….


alhamdulillah..saya pernah menghadiri sebuah majlis ilmu yang mana salah seorang panelnya adalah Ust Zahazan Mohamed di sebuah universiti terkemuka.

Perbahasannya adalah berkisar mengenai menggalakkan melakukan kebaikan tetapi lalai untuk melaksanakannya kepada diri sendiri..pendek kata suruh orang buat tapi sendiri tak buat..adakah golongan ini di golongkan munafik? hanya berlagak baik di hadapan orang ramai tetapi hanya sekadar berpura-pura…

di sini ada perbahasan mengenainya..semoga ianya memberi manfaat buat sekalian sahabat…

MENYURUH AMR MA’RUF TETAPI…

Al-Marhum K.H Syafi‘i Hadzami telah ditanya dengan soalan yang berbunyi:

Apakah kita berdosa atau mendapat pahala, andaikata kita menyuruh orang melakukan sembahyang dan mengaji, sedang kita sendiri lalai mengerjakan sembahyang dan mengaji?

Al-Marhum K.H Syafi‘i menjawab:

Al amr bi al-Ma‘ruf ertinya memerintahkan orang lain berbuat kebajikan adalah wajib. Termasuk sembahyang lima waktu dan mengaji atau menuntut ilmu. Kalau hal ini dilakukan tentu mendapat pahala, kerana orang yang memerintahkan melakukan kewajipan adalah telah melaksanakan perintah wajib.

Sedang yang memerintah itu tidak melakukan sembahyang dan menuntut ilmu agama, maka tentu ia berdosa kerana meninggalkan sembahyang dan menuntut ilmu agama. Dosa orang ini adalah kerana meninggalkan sembahyang dan menuntut ilmu agama, dan bukannya kerana memerintahkan orang lain sembahyang dan menuntut ilmu agama. Kesimpulannya orang ini mendapat dua perkara, pahala dapat dan dosa dapat. Sudah terang neraca amalnya akan berkurangan. Dosa tinggal sembahyang dari kerana demikian besarnya tidak boleh ditebus dengan pahala menyuruh sembahyang kepada orang lain.

Jadi mereka yang rajin memerintah kebajikan dan malas melakukan kebajikan untuk diri sendiri, janganlah berhenti dari memerintahkan kebajikan, bahkan wajiblah ia berusaha supaya dia sendiri dapat melakukan kebajikan itu. Jika dia terus menerus meninggalkan kebajikan bagi dirinya, akan tercelalah dia dan akan terseksalah ia kerana meninggalkan kewajipan dirinya. Walhasil, kewajipan atas manusia dua perkara:

1. Meninggalkan mungkar.
2. Mengingkari mungkar.

Kalau dalam hadis-hadis sahih ada dinyatakan azab bagi mereka yang amr bi al-ma‘ruf tetapi ia sendiri tidak melakukan ma‘ruf atau mengingkari munkar, padahal ia sendiri melakukan munkar, bukanlah mereka diazab kerana amr bi al-ma‘ruf dan bukan kerana nahi an al-munkar, tetapi adalah tidak melakukan ma‘ruf bagi dirinya dan tidak meninggalkan munkar dari dirinya.

Diriwayatkan dari Abi Zaid Usamah bin Zaid bi Harithah r.a., berkatalah ia: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Akan didatangkan dengan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dilemparkan ke dalam neraka, maka keluarlah segala isi perutnya dan berputar-putarlah ia dalam neraka itu, sepertinya keldai pada penggilingan, lalu berkumpullah di sekitarnya oleh ahli-ahli neraka seraya berkata: Hai fulan, menagapa engkau? Bukankah engkau itu pernah memerintahkan kebajikan dan mencegah kemingkaran? Jawabnya: Benar, aku memerintahkan kebajikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Dan aku mencegah kemungkaran, tetapi aku sendiri melakukannya.” (Muttafaq ‘Alaih).

Mengenai hadis ini telah berkata Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali:

Azab tersebut hanyalah kerana ia melakukan munkar bukan kerana ia mengingkari munkar.”

Memperkuat pendapat ini oleh suatu hadis yang diriwayat oleh Anas bin Malik r.a., berkata ia:

Pernah aku berkata: Ya Rasulullah. Tidaklah aku memerintahkan kebajikan sehingga aku sendiri melakukannya. Dan tidak aku mencegah kemungkaran, sehingga aku sendiri menjauhkannya. Jawab Rasulullah s.a.w.: Perintahkan olehmu akan kebajikan, walaupun kamu tidak memperbuatnya. Dan cegah olehmu akan kemungkaran walaupun kamu tidak menjauhkan seluruhnya.”
(Hadith riwayat al-Thabarānī).

Walaupun demikian, alangkah jeleknya orang yang memerintahkan tetapi ia sendiri tidak melakukannya, dan orang yang mencegah tetapi dia sendiri melanggarnya.

Perhatikanlah syair yang diucapkan oleh Abu al-Aswad al-Duali:

Wahai lelaki yang mengajarkan orang lain, mengapa pengajaran itu tidak untuk diri kamu. Engkau sifatkan ubat para penderita penyakit supaya menjadi sembuh, padahal engkau sendiripun menderitanya. Dan kami lihat engkau selalu memperbaiki akal fikiran kami dengan petunjuk, padahal engkau sendiri kehampaan petunjuk itu. Maka mulailah dirimu, dan cegahlah dia dari kesesatannya. Maka jika engkau telah terhenti daripadanya, barulah engkau bijaksana. Maka di sanalah akan diterima orang apa yang engkau katakan, dan beroleh petunjuklah manusia dengan katamu, serta bergunalah pengajaran itu. Janganlah engkau cegah suatu perilaku sedangkan engkau sendiri melakukannya. Sungguh besar kecelaan atasmu, bila engkau memperbuatnya.”

matlamat 2011 yang pertama TERCAPAI…


alhamdulillah…

matlamat pertama 2011 untuk mempunyai blog sendiri akhirnya tercapai..

semoga ia akan menyalurkan maklumat berguna bagi sekalian saudaraku umat islam…