Adat atau kepercayaan yang menjejaskan syahadah atau aqidah Islam


Assalamualaikum wbt…

bertemu lagi…terdengar ceramah daripada Dr. Abd Halim Nasir al-hafiz yang menyebut terdapat permasalahan atau penyakit orang melayu yang terlalu gemar mencari ilmu tanpa mengetahui asal usul ilmu tersebut apatah lagi latarbelakang orang yang menyampaikannya.

Di khuatiri setiap apa yang kita pelajari tanpa berguru dengan orang yang arif ataupun alim ‘ulama akan membuatkan kita lari daripada landasan sebenar. Contohnya mencari perkara-perkara yang tidak perlu dan sia-sia. Perkara ini pernah disebutkan oleh Prof Dr Mamduh Mohamed Ahmed Ahmed di dalam kuliahnya sebagai :

علم الذي لا ينفع والجهل الذي لا يضر

“jika kita mengetahui, tidak memberi manfaat namun tidak mengetahui pula tidak memberi kesan”.

Jelas di sini bahawa perkara-perkara sedemikian tidak perlu untuk dicari atau diperdebatkan sebagaimana seorang lelaki pernah bertanya kepada saya bahawa apakah nama-nama syaitan yang terdapat di dalam surah al-Fatihah dan bermacam persoalan lagi..

Persoalan di sini, yang manakah lebih utama di antara perkara yang wajib dan makruh?

tepuk dada, tanya selera….. 🙂
Saya ingin memaparkan mengenai adat dan kepercayaan karut yang menjejas, mencemar atau merosakkan syahadah ( adat syirik ) dan adat yang merugikan masyarakat muslim . Di mana adat-adat tersebut telah atau masih diamalkan pada waktu ini di kampung-kampung atau di bandar-bandar di Malaysia atau di mana sahaja yang melibatkan orang Islam.

Syahadah ialah pengakuan seorang muslim atau muslimah dengan Allah Taala, iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ini bermakna kita telah mengaku dan bersetuju di hati bahawa tiada Tuhan atau kuasa yang lain yang setaraf dengan kuasa Allah. Sekiranya di hati kita masih mempercayai ada kuasa lain selain Allah dan kuasa itu dapat memberi pertolongan atau kemudaratan kepada kehidupan kita. Inilah yang dimaksudkan dengan kepercayaan yang karut atau khurafat yang menjejas, mencemar dan merosakkan syahadah atau aqidah.
Allah sifatNya Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Esa, Maha Mendengar dan mempumyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain. Sekiranya tidak patuh lagi dengan pengakuan tersebut dengan mempercayai ada kuasa lain selain Allah. Di sini menggambarkan seseorang itu telah menyengutukan Allah dengan makhluk, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah kerana terdapat unsur tidak mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Maha Berkuasa.
Syirik ialah menyengutukan Allah dengan makhluk, situasi seseorang yang mempercayai kuasa Allah dan dalam waktu yang sama dia juga mempercayai kuasa lain seperti mempercayai semangat padi, hantu syaitan atau berhala yang mana makhluk tersebut kononnya mempunyai kuasa memberi kebaikan dan kemudaratan. Syirik sama seperti orang kafir, cuma situasinya agak berbeza. Dosa kerana syirik atau kafir kepada Allah adalah dosa yang tidak diampunkan dan dosa yang amat besar di sisi Allah.
Adat yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu;

1. Lenggang Perut / Kirim Perut :
Adat ini dilaksanakan dengan menggunakan berbagai peralatan seperti benang mentah, minyak urut, buah kelapa, lilin, wang pengkeras dan lain-lain. Adat ini dibuat terhadap orang perempuan hamil genap 7 bulan . Di antara perkara yang dilakukan ialah mengurut dan menggolikkan buah kelapa di atas perut dengan peraturannya yang tertentu, dilaksanakan oleh bidan atau orang yang berpengalaman mengenainya. Jika tidak dilakukan kononnya ditakuti ibu susah melahirkan anak atau ibu dan anak tidak selamat.

Kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana pengamalnya tidak percaya sepenuhnya kepada kuasa Allah, malah mereka mempercayai ada kuasa lain yang boleh memudaratkan mereka, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah.

2. Mandi Tian:
Mandi Tian ini didapati hampir sama seperti Lenggang Perut cuma peralatan dan jampi serapah sahaja yang mungkin berlainan. Ini berlaku mungkin diamalkan oleh suku kaum yang berlainan dan daerah juga berlainan. Tetapi asas kepercayaanya masih sama.

Sekiranya mempercayai bahawa kemudaratan akan berlaku jika tidak melaksanakannya, hukumnya salah di sisi Islam dan boleh membawa syirik. (semoga dijauhkan Allah)

3. Mandi Limau Pengantin:
Mandi Limau ini dilakukan ke atas pengantin , di mana air limau purut dan sintok dan lain-lain bahan khas dicampur dan dimandikan pengantin bertujuan Tolak Bala atau Buang Geruh.

Adat ini adalah salah di sisi Islam kerana Allah sahaja yang berkuasa menolak bala.
Tetapi tidak menjadi kesalahan sekiranya mandi itu untuk tujuan kesihatan tanpa jampi serapah tertentu. Tidak dinafikan mandi limau mampu mengubah bau badan dan memberi kesegaran.

4. Semangat Padi:
Dalam ingatan: Pada tahun antara 50an hingga 60an di kawasan penanaman padi di negeri Kedah, di mana pada masa itu sawah diusahakan dengan tulang empat kerat Pak Tani tua dan muda dengan menggunakan kerbau yang terlatih untuk memajak ( mengala ) sawah mereka. Kerja menanam dan menuai padi petani mengerjakannya sendiri tanpa pertolongan binatang tersebut tadi, cuma apabila hendak memindahkan hasil padi ke sesuatu tempat mereka menggunakan kerbau semula bagi menarik padi yang telah diisi di dalam guni dengan menggunakan alat yang dikenali oleh Pak Tani Kedah sebagai anur, selain daripada itu mereka juga menggunakan basikal untuk membawa padi daripada suatu tempat ke tempat yang lain seperti ke kedai untuk dijual atau ke jelapang untuk disimpan.
Pada zaman tersebut petani sangat patuh kepada adat. Dari saat memulakan kerja memajak atau mengala sawah, menanam, menuai dan selepas menuai semuanya terikat dengan adat atau istiadat. Tanam padi dimulakan dengan menanam semangat padi, selepas beberapa hari barulah boleh meneruskan kerja menanam sehingga selesai, apabila semangat padi ini hampir masak bahagian ini disimpul atau diikat dan dibiarkan sehingga masak, setelah masak bahagian tersebut dituai atau dipotong dan disimpan di dalam jelapang sebagai semangat padi. Kalau tidak lakukan perkara tersebut kononnya padi tidak menjadi atau tidak subur.
( Zaman sekarang padi ditanam dua kali setahun dengan menggunakan berbagai alat teknologi moden seperti mesin tuai, traktor dan seumpamanya dan semangat padi ini tidak diamalkan lagi, mereka menggantikannya dengan kenduri kesyukuran dan doa selamat yang selari dengan ajaran Islam )

Mempercayai bahawa semangat padi boleh memberi kesuburan atau kemudaratan kepada tanaman padi atau dapat meningkat hasil, adalah kepercayaan karut dan salah di sisi Islam serta boleh membawa kepada syirik.

5. Kenduri Sudah Padi ;
Selain daripada Semangat Padi Pak Tani juga mengadakan Kenduri Sudah Padi, kenduri ini diadakan setelah selesai menuai padi. Majlis ini diadakan dengan niat yang bercampur aduk, dikatakan begitu kerana pengisiannya juga bercampur aduk, selain daripada hidangan biasa di sana terdapat sebuah dulang ( talam ) yang mana di dalamnya diisi dengan bertih, susu kerbau, kemiyan, pulut kuning, gulai ayam dan tidak ketinggalan majlis ini juga dimulakan dengan membaca doa.
Majlis ini nampaknya berteraskan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Pulut kuning dan iringannya itu adalah seperti menjamu hantu atau jembalang supaya tidak mengganggu kehidupan mereka.

( Sekarang adat ini telah ditinggalkan setelah sebahagian besar daripada mereka mendalami aqidah Islam )

Di sisi hukum Islam, kepercayaan atau adat kenduri sudah padi seperti ini boleh menjejaskan aqidah atau merosakkan syahadah.

6. Mandi Bunga:
Mandi Bunga mempunyai berbagai tujuan mungkin untuk kesihatan dan sebagainya. Sekiranya mandi itu bertujuan membuang geruh atau tolak bala, maka hukumnya boleh membawa kepada syirik kerana tidak memohon kesejahteraan daripada Allah, sebaliknya memohon daripada kuasa lain, iaitu sesama makhluk.
Mandi bunga kerana rawatan kesihatan secara aromaterapi atau pun lain-lain yang menggunakan khasiat bunya bagi menyegar dan menyihatkan badan tidak termasuk di dalam kepercayaan seperti di atas, ini merupakan rawatan yang diharus atau dibolehkan.

7. Mandi Safar:
Adat mandi safar ini pada masa yang lampau disambut secara pesta oleh orang Melayu terutama yang di tinggal di tepi pantai, adat ini berupa puja pantai, diadakan pada setiap bulan safar, biasanya pada hari Rabu minggu terakhir bulan tersebut. Bila tiba masanya maka beramai-ramailah mereka turun ke pantai denag segala peralatannya. Pesta ini diadakan kononnya bertujuan untuk buang dosa dan tolak bala.
Hukumnya syirik.

8. Kepercayaan karut/khurafat:
Adat dan kepercayaan tersebut terdapat juga yang diamalkan mengikut keluarga masing-masing, ( Tok nenek masing-masing ), kumpulan ini tidak berjenama seperti disebutkan di atas, cuma disebut sebagai meneruskan amalan tok Nenek mereka masing-masing, kepercayaan ini juga dianuti oleh orang Melayu daripada berbagai status, kaya, miskin, terpelajar, berpangkat dan lain-lain. Kepercayaan ini kadang-kadang diamalkan ketika majlis perkahwinan, kenduri kendara, kematian, mengandung, bersalin dan seumpamanya.
Tegasnya, sekiranya adat atau kepercayaan tersebut terpesong daripada memperhambakan diri kepada Allah dengan memohon perlindungan atau memohon menjauhkan bala atau seumpamanya di mana permohonan itu ditujukan kepada selain daripada Allah. Perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan syirik.

9. Malam Tujuh Likur/Pesta Pelita:

Persoalan ini pernah saya sentuh ketika menyampaikan tazkirah seberapa lama dahulu di dalam sebuah majlis ilmu. Adat memasang pelita ( pesta pelita ) pada malam tujuh likur dalam bulan Ramadan, bertujuan menunjuk jalan kepada roh nenek moyang yang pulang menjelang hari raya adalah amalan masyarakat Melayu sebelum Islam. Adat ini dikatakan berasal daripada agama Hindu. Ini meninggalkan kesan kepada pemikiran masyarakat bukan Islam yang terus memandang Islam melalui pandangan yang serong, malah sebahagian masyarakat Islam pada hari ini juga berfahaman begitu.

Jika ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya tidak mungkin terdapat di dalam kitab-kitab Fiqah kerana ia bukan ajaran Islam.


Sekiranya kita memasang pelita pada malam tersebut bertujuan seperti yang dinyatakan di atas bermakna kita telah melanggar dan menyeleweng daripada suruhan yang sepatutnya kita lakukan pada minggu-minggu akhir bulan Ramadan . Tidak salah memasang pelita untuk menceriakan suasana kampung halaman tetapi ianya tiada kaitan dengan kepercayaan terhadap roh.
Marilah kita sama-sama menghayati bersungguh-sungguh suruhan Allah dan tinggalkan laranganNya supaya diikuti oleh anak cucu kita pada masa akan datang dengan ikutan yang betul dan benar seperti terkandung di dalam ajaran Islam. Wallahu aklam.

Renungi dalil Naqli yang memperjelaskan hukum mengenai perkara tersebut:

(a) Firman Allah bermaksud:
” Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan Dia menundukkan matahari dan bulan ( untuk kepentinganmu ), masing-masing berlari ( beredar ), sehingga waktu yang ditentukan. Itulah Allah, Tuhanmu, bagiNya semua kerajaan, orang-orang ( berhala ) yang kamu sembah selain daripada Allah, tidak mempunyai sebesar kulit tipis pun ( sedikit pun )”. Surah Faathir, (13)
” Jika mereka kamu seru ( panggil ), mereka tidak mendengar seruanmu, kalau mereka mendengarnya, mereka tidak memperkenankannya. Pada hari kiamat mereka akan mengingkari kesyirikan mereka itu. Tiada yang akan memberitakan kepada engkau seperti ( Allah ) yang Maha Mengetahuinya”. Surah Faathir, (14)
” Wahai manusia , kamu fakir ( berkehendak ) kepada Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. Surah Faathir, (15)
” Jika dikehendakiNya nescaya dimusnahkanNya kamu didatangkanNya makhluk yang baru” Surah Faathir, (16)

(b) Maksud firman Allah:
” Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada rasul, mereka berkata: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapat dari bapa-bapa kami. Meski pun bapa-bapa mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk”. Surah Al. Maidah, (104)

Mafhum daripada Sabda Rasulullah.s.a.w:

(a) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
” Barang siapa datang ke tempat tukang tenung kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.s.a.w.”
( Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik dan kuat)

(b) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
” Barang siapa datang ke tempat juru ramal ( tukang tenung ), kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari”.
( Riwayat Muslim )

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: