Archive for February, 2011

Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?


assalamualaikum wbt…

bersyukur ke hadrat Allah kerana masih diberi nikmat olehNya meskipun kita sering melakukan kesalahan dan alpa dalam mengingatiNya…bukti bahawa Allah itu maha Penyayang dan maha Pengasih..semoga kita terus berada di atas jalanNya.

Sebetulnya, saya ingin untuk menulis mengenai tanda-tanda hari Kiamat yang semakin hampir, lantaran kerana beberapa tazkirah yang saya sampaikan sebelum ini lebih kerap berkisar mengenai Kiamat serta serangan pemikiran oleh barat terhadap umat Islam menerusi filem mereka, 2012. Namun, saya merasakan adalah penting untuk saya mendahulukan tajuk ini iaitu “Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?”. Ini berikutan kehadiran tarikh 14hb Februari yang akan tiba dan amat dikhuatiri akan terus melemaskan muda-mudi beragama islam di dalam arus maksiat yang semakin berleluasa.

Semoga tulisan ini bukan sahaja bermakna buat mereka yang telah memahami erti Hari Kekasih menurut perspektif Islam, bahkan yang diutamakan buat sahabat-sahabat yang baru menyedarinya dan mencari info mengenainya.

Menyentuh mengenai sejarah Hari Kekasih ataupun Valentine’s Day, terdapat sekurang-kurangnya 2 paderi yang dikatakan pencetus kepada sambutan hari ini. Yang pertamanya ialah paderi Valentine yang berkhidmat untuk kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III pada ketika itu telah melarang pemuda-pemuda untuk berkahwin dengan beralasan mereka akan lebih komited dan taat untuk mempertahankan negara jika mereka tidak berkahwin. Namun, paderi Valentine ini telah mengingkari arahan Maharaja Claudius III dengan mengahwinkan pemuda serta pemudi tanpa pengetahuan maharaja. Dan tindakan paderi Valentine ini telah dapat dihidu dan beliau terus dihukum bunuh.

Seterusnya, juga mengenai seorang paderi yang bernama Valentine yang dijatuhkan hukuman mati kerana cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada penjara. Ketika berada di dalam penjara paderi ini telah bercinta dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada pegawai penjara tersebut. Sebelum dibunuh, paderi Valentine ini telah menulis sepucuk surat yang mengandungi ungkapan “from your valentine”.

Kaitan antara kedua-dua kisah di atas ialah mereka telah dibunuh pada tarikh yang sama iaitu 14 Februari. Justeru, masyarakat serta penganut agama Kristian ini telah menganggap mereka sebagai idola di dalam percintaan dan seterusnya menamakan 14 Februari sebagai Hari Valentine.

Namun tanpa kita sedari, peredaran zaman telah membuatkan masyarakat Islam pada hari ini juga telah terpengaruh dengan budaya sambutan hari ini apabila masyarakat Kristian turut menamakan tarikh 14 Februari ini juga sebagai Hari Memperingati Kekasih. Maka pelbagai sambutan telah diadakan pada hari ini untuk menyambutnya dengan dorongan oleh pelbagai pihak termasuk media cetak mahupun media elektronik. Para kekasih beragama Islam akan menjemput kekasihnya untuk meraikan sambutan ini sehingga pulang pada lewat malam, seterusnya menjurus kepada melakukan maksiat.

Sahabat-sahabat sekalian, terfikirkah kita bahawa sambutan Hari Kekasih ini adalah sebenarnya sambutan untuk memperingati paderi-paderi yang memperjuangkan agama Kristian?

-Jadi, dimanakah jatidiri yang ada di dalam diri kita sebagai umat Islam untuk menjual akhlak dan aqidah kita kerana nafsu semata-mata?

-Kemanakah hilangnya semangat keIslaman yang patut ada dalam diri kita untuk menyebarkan agama Allah ini?

Tanpa kita sedari, masyarakat kita pada hari ini adalah satu-satunya masyarakat yang masih lalai dan alpa dalam mempertahankan agama kita. Buktinya lihatlah pada usaha-usaha barat menerusi filem-filem mereka yang tersebar seluruh dunia seperti filem bertajuk “Book of Eli” , “2012” dan sebagainya. Filem ini tidak lain hanyalah untuk memyebarkan fahaman Kristian itu sendiri.

Dan bagaimana pula dengan filem-filem yang dihasilkan masyarakat kita. Tiada lain, melainkan keuntungan semata. Namun ini hanyalah sekadar misalan dan contoh mudah yang dapat di ambil bagi memberi penjelasan kepada masyarakat.

Maka secara tidak langsung, apabila kita menyambut sambutan Hari Kekasih ini membawa erti kita juga menyokong  usaha paderi -paderi Kristian ini  dalam mempertahankan agamanya!

Saya ingin membawakan satu peringatan di dalam al-Quran daripada surah al-An’am (ayat 116) yang bermaksud :

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tiada lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tiada lain hanyalah berdusta (terhadap Allah.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu itu akan diminta bertanggungjawab“.

Begitu juga dengan hadis yang dibawakan baginda Muhammad SAW di dalam hadisnya yang bermaksud :

“Barangsiapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama), maka dia tergolong di dalam kaum (agama) itu”.

Semoga Allah memelihara kita.

Sahabat-sahabat sekalian, jelas di sini bahawa hukum memnyambut Hari Kekasih ataupun Hari Valentine ini adalah haram kerana ia bertentangan dengan agama Islam itu sendiri. Bahkan, jika berpandukan kepada hadis nabi SAW di atas itu, orang Islam yang menyambut perayaan tersebut boleh dianggap murtad!

Sahabat-sahabat sekalian, kita tidak memerlukan budaya seperti ini kerana agama kita sendiri sudah lengkap dan sempurna. Islam itu sendiri tidak melarang fitrah manusia untuk berkasih, namun berkasihlah mengikut saluran yang betul.

Pada tahun 2011 ini, tarikh 14 Februari ini bersebelahan dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 15 Februari. Maka, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk memperingati sambutan kelahiran insan yang paling agung, baginda Muhammad SAW, insan yang memandu kita untuk berada di dalam nikmat Islam pada hari ini.

Semoga tulisan saya ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat buat sekaliannya dan usaha ini tidak lain diiringi perasaan kasihku pada umat Islam semuanya.

InsyaAllah, jika diberi kelapangan akan bertemu semula..

 

ciri-ciri doa dimakbulkan…


assalamualaikum wbt,

alhamdulillah….akhirnya di beri sedikit kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan semua…

masa-masa yang sibuk sebelum ini sangat-sangat disyukuri, saya telah dapat berkenalan dengan seorang ilmuan agama serta dapat berkongsi pengetahuan dengan beliau…orang yang dimaksudkan ialah alfadhil ustaz Ismail bin Che Ku, ketua jabatan pengajian Islam, Maktab Perguruan Islam, B.B. Bangi…

teringat tazkirah yang diberikan menyentuh kepada ciri-ciri doa di makbulkan…saya sekadar berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat yang membaca, mudah-mudahan kita beroleh manfaat dan menyebarkan kepada yang lain…

terdapat 3 ciri yang di sampaikan di dalam tazkirahnya…

  • pertamanya : bertawassul dengan perbuatan baik yang kita lakukan….

-yang dimaksudkan disini ialah kita menyebut mengenai amal kebaikan yang pernah kita lakukan di dalam kehidupan kita untuk memohon sesuatu daripada Allah..(tetapi janganlah pula kita asyik menyebutnya kepada manusia, -dikhuatiri bertukar menjadi takbur serta riya’)

contoh yang boleh dibawa ialah satu kisah ketika mana 3 orang pemuda yang terperangkap di dalam sebuah gua…seorang yang pertama berdoa ; ya Allah, aku pernah dipujuk untuk menjual kambing tuanku tanpa pengetahuannya dengan harga yang mahal, tetapi aku menolaknya kerana takut kepada Engkau, ya Allah..maka dengan perbuatanku itu, bukakanlah pintu gua ini..(pintu gua terbuka sedikit)

seorang yang kedua berkata; ya Allah, suatu hari aku pernah pulang lewat dari bekerja dan ibubapaku telah tidur..kebiasaannya aku memberi mereka minum susu sebelum mereka tidur, namun aku tidak sanggup mengejutkan mereka untuk bangun dan minum walaupun ketika itu, anak-anakku sedang menangis meminta susu itu. aku bertekad untuk menunggu ibubapaku bangun dan minum dahulu kemudian barulah anak-anakku. Ya Allah, dengan perbuatanku itu, maka Engkau bukakanlah pintu gua ini…(juga terbuka sedikit)

dan seorang yang ketiga kemudian berdoa ; ya Allah, suatu ketika aku pernah di ajak berzina dengan saudara perempuanku dan aku hampir-hampir sahaja melakukannya..namun ketika aku terlalu hampir melakukannya, aku tersedar dan menjadi takut lalu bertaubat kepadaMu, ya Allah..maka dengan perbuatan ku itu, bukakanlah pintu gua ini…(maka pintu gua itu terbuka dan mereka dapat keluar dengan selamat..)

  • kedua : dengan menyebut nama-nama Allah (asma’ al-husna)

-apabila memohon kepada Allah, sedarilah kita adalah hamba yang meminta daripada Pencipta yang Lebih Kuasa, maka sebutkanlah nama-nama Allah yang mulia yang mana jua adalah sifat-sifatNya.

contohnya adalah ketika kita memohon keampunan daripadaNya, maka sebutkanlah ya Ghafur ya Rahim (sekadar misalan), kerana kita sedia maklum akan kekuasaan Allah serta ilmunya yang mana jika dikumpulkan setiap air di lautan untuk dijadikan tinta buat menulis ilmuNya, nescaya tidak akan cukup..begitulah juga tanda kebesaran Allah..

maka di sini terdapat sedikit galakan buat para sahabat untuk kita mengenali nama-namaNya..janganlah sekadar menyebut di dalam nasyid tetapi tidak memahaminya..

  • ketiga : bertemu dengan rojulun solih (para ilmuan)

yang dimaksudkan dengan rojulun solih ialah orang-orang alim ulama’ ataupun dalam bahasa mudahnya ialah para ilmuan. Saya suka untuk menyebut di sini akan ciri-ciri ilmuan antaranya :

  1. ilmu yang bersanad : ertinya dia mengetahui daripada mana datangnya ilmu yang dipelajari dan bukan sekadar daripada pembacaan sahaja. bahkan dia mengenali latarbelakang penulis serta gurunya..sehingga ada para alim ulama’ yang sanadnya sampai kepada Rasulullah S.A.W..
  2. beramal dengan ilmunya : beliau tidak sahaja mempelajarinya, tetapi juga beramal dengannya.
  3. menyampaikan : maka setelah beramal dengan ilmunya, dia juga menyebar serta mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lainnya.

apabila kita berkesempatan bertemu dengan para ilmuan, maka mintalah padanya untuk mendoakan kita ataupun berdoa bersamanya dan mengaminkan bersamanya..tetapi jangalah kita beranggapan bahawa mereka yang berkuasa, tetaplah yakin bahawa yang memberi dan mengambil hanyalah Allah S.W.T..

semoga Allah memperkenankan doa kita dan memberi ketetapan hati pada kita di atas jalanNya untuk terus berada di atas jalanNya..

saya berharap dengan gembiranya saya menulis di ruangan ini, para sahabat juga akan gembira membacanya..semoga Allah tidak mengambil nikmat ini daripadaku untuk terus cintakan ilmu…dan semoga semua saudara kita yang sedang berjuang di Tanah Arab, diiringi doa kita..berjaya menumpaskan musuh Allah…ameen..