Archive for the ‘aqidah’ Category

Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?


assalamualaikum wbt…

bersyukur ke hadrat Allah kerana masih diberi nikmat olehNya meskipun kita sering melakukan kesalahan dan alpa dalam mengingatiNya…bukti bahawa Allah itu maha Penyayang dan maha Pengasih..semoga kita terus berada di atas jalanNya.

Sebetulnya, saya ingin untuk menulis mengenai tanda-tanda hari Kiamat yang semakin hampir, lantaran kerana beberapa tazkirah yang saya sampaikan sebelum ini lebih kerap berkisar mengenai Kiamat serta serangan pemikiran oleh barat terhadap umat Islam menerusi filem mereka, 2012. Namun, saya merasakan adalah penting untuk saya mendahulukan tajuk ini iaitu “Hari Kekasih, tradisi atau pembunuh akhlak umat Islam?”. Ini berikutan kehadiran tarikh 14hb Februari yang akan tiba dan amat dikhuatiri akan terus melemaskan muda-mudi beragama islam di dalam arus maksiat yang semakin berleluasa.

Semoga tulisan ini bukan sahaja bermakna buat mereka yang telah memahami erti Hari Kekasih menurut perspektif Islam, bahkan yang diutamakan buat sahabat-sahabat yang baru menyedarinya dan mencari info mengenainya.

Menyentuh mengenai sejarah Hari Kekasih ataupun Valentine’s Day, terdapat sekurang-kurangnya 2 paderi yang dikatakan pencetus kepada sambutan hari ini. Yang pertamanya ialah paderi Valentine yang berkhidmat untuk kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III pada ketika itu telah melarang pemuda-pemuda untuk berkahwin dengan beralasan mereka akan lebih komited dan taat untuk mempertahankan negara jika mereka tidak berkahwin. Namun, paderi Valentine ini telah mengingkari arahan Maharaja Claudius III dengan mengahwinkan pemuda serta pemudi tanpa pengetahuan maharaja. Dan tindakan paderi Valentine ini telah dapat dihidu dan beliau terus dihukum bunuh.

Seterusnya, juga mengenai seorang paderi yang bernama Valentine yang dijatuhkan hukuman mati kerana cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada penjara. Ketika berada di dalam penjara paderi ini telah bercinta dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada pegawai penjara tersebut. Sebelum dibunuh, paderi Valentine ini telah menulis sepucuk surat yang mengandungi ungkapan “from your valentine”.

Kaitan antara kedua-dua kisah di atas ialah mereka telah dibunuh pada tarikh yang sama iaitu 14 Februari. Justeru, masyarakat serta penganut agama Kristian ini telah menganggap mereka sebagai idola di dalam percintaan dan seterusnya menamakan 14 Februari sebagai Hari Valentine.

Namun tanpa kita sedari, peredaran zaman telah membuatkan masyarakat Islam pada hari ini juga telah terpengaruh dengan budaya sambutan hari ini apabila masyarakat Kristian turut menamakan tarikh 14 Februari ini juga sebagai Hari Memperingati Kekasih. Maka pelbagai sambutan telah diadakan pada hari ini untuk menyambutnya dengan dorongan oleh pelbagai pihak termasuk media cetak mahupun media elektronik. Para kekasih beragama Islam akan menjemput kekasihnya untuk meraikan sambutan ini sehingga pulang pada lewat malam, seterusnya menjurus kepada melakukan maksiat.

Sahabat-sahabat sekalian, terfikirkah kita bahawa sambutan Hari Kekasih ini adalah sebenarnya sambutan untuk memperingati paderi-paderi yang memperjuangkan agama Kristian?

-Jadi, dimanakah jatidiri yang ada di dalam diri kita sebagai umat Islam untuk menjual akhlak dan aqidah kita kerana nafsu semata-mata?

-Kemanakah hilangnya semangat keIslaman yang patut ada dalam diri kita untuk menyebarkan agama Allah ini?

Tanpa kita sedari, masyarakat kita pada hari ini adalah satu-satunya masyarakat yang masih lalai dan alpa dalam mempertahankan agama kita. Buktinya lihatlah pada usaha-usaha barat menerusi filem-filem mereka yang tersebar seluruh dunia seperti filem bertajuk “Book of Eli” , “2012” dan sebagainya. Filem ini tidak lain hanyalah untuk memyebarkan fahaman Kristian itu sendiri.

Dan bagaimana pula dengan filem-filem yang dihasilkan masyarakat kita. Tiada lain, melainkan keuntungan semata. Namun ini hanyalah sekadar misalan dan contoh mudah yang dapat di ambil bagi memberi penjelasan kepada masyarakat.

Maka secara tidak langsung, apabila kita menyambut sambutan Hari Kekasih ini membawa erti kita juga menyokong  usaha paderi -paderi Kristian ini  dalam mempertahankan agamanya!

Saya ingin membawakan satu peringatan di dalam al-Quran daripada surah al-An’am (ayat 116) yang bermaksud :

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tiada lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tiada lain hanyalah berdusta (terhadap Allah.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu itu akan diminta bertanggungjawab“.

Begitu juga dengan hadis yang dibawakan baginda Muhammad SAW di dalam hadisnya yang bermaksud :

“Barangsiapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama), maka dia tergolong di dalam kaum (agama) itu”.

Semoga Allah memelihara kita.

Sahabat-sahabat sekalian, jelas di sini bahawa hukum memnyambut Hari Kekasih ataupun Hari Valentine ini adalah haram kerana ia bertentangan dengan agama Islam itu sendiri. Bahkan, jika berpandukan kepada hadis nabi SAW di atas itu, orang Islam yang menyambut perayaan tersebut boleh dianggap murtad!

Sahabat-sahabat sekalian, kita tidak memerlukan budaya seperti ini kerana agama kita sendiri sudah lengkap dan sempurna. Islam itu sendiri tidak melarang fitrah manusia untuk berkasih, namun berkasihlah mengikut saluran yang betul.

Pada tahun 2011 ini, tarikh 14 Februari ini bersebelahan dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada 15 Februari. Maka, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk memperingati sambutan kelahiran insan yang paling agung, baginda Muhammad SAW, insan yang memandu kita untuk berada di dalam nikmat Islam pada hari ini.

Semoga tulisan saya ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat buat sekaliannya dan usaha ini tidak lain diiringi perasaan kasihku pada umat Islam semuanya.

InsyaAllah, jika diberi kelapangan akan bertemu semula..

 

Advertisements