Archive for the ‘Uncategorized’ Category

NAFSU : MUSUH YANG DICINTAI…


Assalamualaikum wbt…

Alhamdulillah, segala puji hanya buat pencipta sekalian alam, Allah SWT yang memiliki segala kesempurnaan.

Setelah sekian lama, akhirnya saya bertemu juga kesempatan menulis bagi sama-sama memanfaatkan diri saya dan sahabat-sahabat lainnya.

Saya ingin memanjatkan kesyukuran kepadaNya kerana memberi peluang kepada saya menyempurnakan sebahagian sunnah nabi Muhammad SAW, iaitu melangsungkan perkahwinan. Semoga ikatan yang dibina ini akan lebih mendorongkan serta melorongkan fikiran serta amalan berada lebih dekat denganNya. Amin.

Sekian lama tidak menulis, saya memilih tajuk “NAFSU : MUSUH YANG DICINTAI…”, sebagai satu perkongsian untuk sama-sama kita lihat pada diri kita dan renungkan bersama. Saya amat berharap sahabat-sahabat sekalian sudi untuk menyebarkan pengetahuan yang diperolehi bersama dengan rakan-rakan yang lain.

Setiap makhluk yang diciptakan Allah SWT, ada mempunyai nafsu. Begitulah lumrahnya setiap lelaki memerlukan perempuan. Namun janganlah kita mengaitkan nafsu itu kepada nafsu shahwat semata, kerana terdapat beberapa nafsu yang lain seperti nafsu makan, nafsu tidur, nafsu membeli belah dan sebagainya. Bahkan sebahagian ulama’ juga mengkategorikan dengki, bakhil, tamak juga tergolong dan berpunca daripada nafsu.

Nafsu sebagaimana di sebutkan terbahagi kepada 4. Dan ada beberapa ulama’ yang membahagikannya kepada 7. Namun saya memilih untuk membincangkan 4 jenis nafsu yang asas, yang mana nafsu-nafsu ini berada pada semua jenis peringkat manusia. Fahamilah, insyaAllah kita akan berjaya menguasainya.

Nafsu yang pertama diletakkan sebagai nafsu yang yang berada paling bawah iaitu nafs ammarah. Peringkat nafsu ini sangat dikeji oleh para ulama’ kerana seseorang itu sangat mudah dipengaruhi dan ditewaskan oleh nafsunya sendiri seterusnya melakukan kemungkaran yang ditegah oleh syariat Islam. Lebih memburukkan, golongan yang dikuasai oleh nafsu ini amat berbangga apabila melakukan kemungkaran dan menzahirkan perbuatannya itu.

Misalannya ialah sebagaimana remaja pada hari ini yang mendedahkan aurat, tidak merasa malu dengan perilaku mereka bahkan merasa bangga untuk terus mempamerkan “aset” yang dimiliki. Golongan seperti ini seolah-olah telah meletakkan harga yang begitu rendah buat maruah serta prinsip mereka. Tidak membuatkan pandangan masyarakat melihat mereka sebagai mulia tetapi memandang mereka dengan penuh kehinaan. Begitulah hebatnya kuasa yang dimiliki oleh nafs ammarah ini, menguasai jiwa manusia sehingga mereka buta untuk memahami pandangan masyarakat buat mereka. Melihat yang hitam sebagai yang putih ataupun melihat yang timur sebagai yang barat.

Nafsu yang kedua di namakan sebagai nafs  lawwamah, yang mana tarafnya berada di atas sedikit daripada  nafs ammarah. Golongan yang dikuasai oleh nafsu ini menyedari akan kesalahan mahupun kemungkaran yang dilakukan, tetapi tidak berdaya untuk mengubahnya lantaran kerana lemahnya serta nipisnya iman yang dimiliki. Mengetahui kemungkaran yang dilakukan, namun kadangkala seakan meredhai perbuatan tersebut.

Sebenarnya, golongan yang dikuasai oleh nafs lawwamah ini berada di kalangan kita dengan begitu ramai sekali. Contohnya ialah sesetengah lelaki yang beranggapan tidak mengapa jika menyentuh tangan bukan muhrimnya. Dan begitu juga sebaliknya sesetengah perempuan yang berpendirian demikian. Jelasnya, mereka menyedari dan telahpun mempunyai pengetahuan agama yang asas bahawa hukum menyentuh tangan bukan muhrim adalah haram. Namun dibiarkan pengetahuan tersebut, dipinggirkan hukum-hukum Allah dengan berfikiran logik bahawa tidak mengapa menyentuhnya tanpa shawat berahi. Tanpa disedari, permulaan pemikiran ini sebenarnya telah menghalalkan remaja-remaja untuk terus berpelukan sesama kekasih hasil daripada pemikiran sebegini. Dan akhirnya, mereka tumbang hasil dorongan nafsu sendiri.

Nafsu yang ketiga di namakan sebagai nafs mulhamah. Peringkat nafsu ini adalah lebih kepada perubahan ke arah kebaikan. Proses awal untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun sedemikian, golongan yang cenderung memiliki tingkatan nafsu ini kadangkala tertewas di dalam melakukan kemungkaran juga. Contohnya, ialah mereka yang menunaikan solat, tetapi hanya sekadar rutin harian. Hasilnya, mereka tetap terdorong untuk melakukan kemungkaran dan kemudiannya bertaubat semula kepada Allah.

Nafsu yang keempat dan terakhir dinamakan sebagai nafs mutmainnah, iaitu peringkat nafsu yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran pada surah al-Fajr ayat 27-28 yang bermaksud :

“Wahai jiwa-jiwa (nafsu) yang tenang. Kembalilah kepada tuhan kamu dengan hati yang redha dan di redhai.”

Peringkat nafsu ini adalah peringkat tertinggi yang dijanjikan Allah syurga pada sesiapa yang berjaya mencapai tahap nafs mutmainnah ini. Nafs ini bukan sahaja mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan bahkan membantu seseorang itu agar selalu menjauhi kemungkaran yang ditegah. Mereka inilah golongan yang apabila mendengar ucapan-ucapan keugamaan, maka bergetar hati mereka berasa takut akan setiap dosa yang dilakukan. Sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan acapkali mengucapkan ucapan salam dan rindu pada baginda Muhammad SAW.

Renungkan sahabat-sahabat sekalian, di manakah kita berada? Peringkat manakah pilihan kita? Adakah kita tergolong di dalam golongan yang di kawal oleh hati yang dikuasai oleh nafsu ammarah mahupun lawwamah? Dan adakah kita berada di tingkatan tertinggi menunggu hari bertemu dengan Kekasih yang Agung dalam hati yang meredhai dan di redhai?

Sahabat-sahabat sekalian, saya juga berasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat akan ilmu yang diperolehi daripada guru saya sebelum ini akan bagaimana kaedah untuk mengawal nafs seterusnya menewaskannya…

Semoga kita beroleh manfaat darinya.

Antara 3 kaedah ataupun cara menundukkan nafs ialah :

1. Menyekat kekuatan nafs.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, nafs ialah persoalan yang berkaitan dengan unsur-unsur dalaman. Maka salah satu sumber kekuatannya ialah sumber makanan yang di ambil. Maka hendaklah kita memelihara sumber makanan yang di ambil dengan menitikberatkannya kepada yang halal, tidak mengambil makanan melainkan yang berkhasiat semata serta mengikut urutan sunnah mengenai kaedah makan yang betul. Contohnya adalah seperti yang di ajar rasulullah SAW untuk makan apabila kita berasa lapar dan berhenti sebelum kita berasa kenyang. Dengan yang demikian, sumber dalaman kita akan menjadi bersih dan kita akan sentiasa berasa tenteram serta dapat berfikir dengan jiwa yang tenang.

2. Membebankan nafs dengan ibadah.

Apabila nafs itu sudah menjadi lemah, maka menjadi mudah untuk kita membuatkan ia untuk menurut perintah kita. Maka, ambillah kesempatan ini untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah samada yang fardhu mahupun yang sunnah. Menerusi ibadah yang di lakukan, insyaAllah, akan memberi kesan kepada hati agar terbiasa dengan amalan-amalan ini. Dan apabila perkara sebegini berlaku, hati juga akan meronta kita supaya melakukan ibadah apabila kita terleka.

3. Berdoa kepada Allah.

Sahabat-sahabat sekalian, apabila kedua-dua kaedah di atas telah terlaksana, maka tinggallah cara terakhir yang boleh kita amalkan, iaitu memohon doa kepada Allah.

Berikut adalah terjemahan doa yang boleh di amalkan :

“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kemungkaran dan peliharalah aku daripada kerosakan nafsu.”

Alhamdulillah, saya ucapkan syukur padaNya kerana berjaya menyiapkan sebahagian usaha untuk menyebarkan dakwah ini. Tidaklah ditulis tulisan ini untuk berbangga-bangga diri ataupun mencari nama, bahkan tidak lain hanya kerana perasaan sayang  pada umat Islam sekaliannya. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada tulisan ini seterusnya menyebarkannya kepada yang lain.

InsyaAllah, bertemu lagi.

wassalam.

matlamat 2011 yang pertama TERCAPAI…


alhamdulillah…

matlamat pertama 2011 untuk mempunyai blog sendiri akhirnya tercapai..

semoga ia akan menyalurkan maklumat berguna bagi sekalian saudaraku umat islam…